Skip to main content

011-25433527 jaheaik@kelantan.gov.my ahad-khamis 8.00 - 5.00

SOALAN LAZIM (FAQ)

Himpunan Soalan-Soalan Lazim Mengikut Bahagian


SOALAN LAZIM | BAHAGIAN DAKWAH
Soalan 1: Bagaimanakah untuk saya mendapat khidmat penceramah daripada JAHEAIK?
Jawapan: Tuan perlu mengemukakan surat permohonan kepada jabatan ini sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh program dengan menyatakan tarikh, tempat dan tajuk ceramah yang hendak disampaikan kepada alamat berikut:
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan
Kompleks Islam Darulnaim
Jalan Sultan Yahya Petra
15200 Kota Bharu, KELANTAN
(u.p : Ketua Penolong Pengarah [Dakwah])
 
Soalan 2: Saya ada seorang kawan yang berminat dengan Islam dan beliau telah menyatakan hasrat untuk memeluk agama Islam, dimanakah beliau boleh memeluk Islam dan bagaimanakah cara untuk saya membantu beliau dalam perkara ini?
jawapan: 
  • Sekiranya beliau berada di Kelantan, tuan boleh membawa beliau untuk memeluk agama Islam di:
1.Bahagian Dakwah, JAHEAIK
2.Pejabat Agama Jajahan yang berdekatan
3.Mana-mana cawangan PERKIM, ABIM Outreach dan lain-lain
4.Mana-mana masjid berdekatan dan diislamkan oleh Imam
  • Seterusnya sahabat tuan perlu hadir ke Bahagian Dakwah, JAHEAIK sendiri untuk mendaftar pengislaman beliau dan membawa dua keping gambar berukuran pasport dan kad pengenalan/passport yang masih sah beserta borang pendaftaran pengislaman.
  • Kemudian sahabat tuan perlu mendapatkan pengesahan di Pejabat Agama Jajahan Kota Bharu dan membawa surat yang telah dikeluarkan oleh Pejabat Agama Jajahan Kota Bharu ke Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bersama dua keping gambar bagi mengeluarkan Kad Akuan Masuk Islam.
Soalan 3: Apakah prosedur seseorang untuk memeluk Islam?
Jawapan: Seseorang yang ingin memeluk Islam perlu hadir ke Unit Dakwah Ukhuwwah, Bahagian Dakwah, JAHEAIK dengan membawa bersama beliau seorang saksi beragama Islam, kad pengenalan/passport yang masih sah dan empat keping gambar berukuran pasport.
 
Soalan 4: Saya seorang saudara baru, dimanakah boleh saya belajar untuk saya mendalami dan mempelajari agama Islam?
Jawapan: JAHEAIK dan MAIK ada menganjurkan kelas pengajian asas Al-Quran dan Fardhu Ain sepanjang tahun di samping kursus-kursus saudara baru yang lain. Sekiranya tuan berminat, bolehlah hadir ke Bahagian Dakwah, JAHEAIK untuk pertanyaan lanjut.
 
Soalan 5: Adakah JAHEAIK menganjurkan Kelas Pengajian Fardhu Ain atau program-program keagamaan?
Jawapan: JAHEAIK ada menganjurkan kelas pengajian kepada golongan tertentu iaitu Saudara Baru termasuk Orang Asli dan masyarakat terpilih. Manakala bagi program-program keagamaan diadakan secara berkala seperti Program Membina Generasi Solat, Program Membina Generasi Al-Quran, Kursus Pengurusan Jenazah dan sebagainya.

 

SOALAN LAZIM | BAHAGIAN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
 
Soalan 1: Apakah Dokumen-Dokumen Yang Diperlukan Untuk Melangsungkan Perkahwinan? / Bagaimanakah Prosedur Permohonan Perkahwinan?
Jawapan: 
Diperlukan Untuk Melangsungkan Perkahwinan? / Bagaimanakah Prosedur Permohonan Perkahwinan?
 
1. Isi maklumat di laman sesawang: 
2. Borang hendaklah:
   - Ditandatangani oleh pemohon
   - Ditandatangani oleh wali (bagi perempuan)
   - Disahkan status dan anak mukim oleh Imam Mukim
 
 Dokumen yang diperlukan:
- Borang Permohonan Untuk Berkahwin
- Salinan Kad Pengenalan
- Salinan Sijil Kursus Pra Perkahwinan
- Laporan Ujian Saringan HIV
- Surat Perakuan Cerai (jika duda/janda)
- Salinan kenyataan Islam (jika muallaf)
- Kelulusan KAGAT (jika anggota tentera)
- Kelulusan PDRM (jika anggota polis)
- Borang wakalah wali (jika wali tidak hadir)
- Salinan Surat Kematian (jika balu/duda kematian pasangan)
- Perintah Mahkamah (jika mahu berpoligami)
 
Warna Borang:
- Borang 1 (Putih) – untuk lelaki
- Borang 2 (Kuning) – untuk perempuan
 
Untuk pemohon bukan warganegara:
- Borang Permohonan Untuk Berkahwin
- Laporan Ujian Saringan HIV
- Salinan dokumen perjalanan yang sah
- Surat Perakuan Cerai (jika duda/janda)
- Kenyataan Islam (jika muallaf)
- Kebenaran/kebenaran berkahwin daripada konsulat atau kedutaan
- Kebenaran Perkahwinan dari Jabatan Imigresen
 
Langkah seterusnya:
- Borang disahkan Imam Mukim (kecuali Saudara Baru boleh disahkan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, JAHEAIK)
- Borang diserahkan kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan untuk ditandatangani dan dicop
- Borang dibawa ke Pejabat Agama Jajahan untuk mendapat kebenaran berkahwin
- Dapatkan Surat Kebenaran Berkahwin (Borang 2 / 2A) dalam tempoh 24 jam
- Majlis Akad Nikah diadakan di tempat pemastautinan perempuan
- Suami membaca ta’liq dan menandatangani Surat Makluman Akad Nikah dan Surat Perakuan Nikah
 
Soalan 2: Bagaimanakah Prosedur Permohonan Kad Pintar E-Nikah?
Jawapan:
  • Sediakan gambar pasport 1 keping setiap seorang (perempuan bertudung, lelaki bersongkok)
    • Latar belakang merah bagi warganegara asing
    • Latar belakang biru bagi warganegara Malaysia & pemegang PR
  • Salinan kad pengenalan pasangan
  • Salinan Surat Perakuan Nikah (buku hijau asal)
  • Bayaran RM50.00 (2 keping kad)
  • Permohonan dibuat di Pejabat Agama Jajahan tempat pendaftaran perkahwinan
Soalan 3: Tuntutan Kad Pintar E-Nikah
Jawapan:
  • Boleh dituntut di Pejabat Agama Jajahan selepas 1 bulan dari tarikh permohonan
  • Jika tinggal/bekerja di luar Kelantan, boleh dihantar melalui pos ekspres (pemohon sediakan sampul surat semasa permohonan)
Soalan 4: Sekiranya Sijil Nikah / Buku Nikah Hilang, Bagaimanakah Prosedur Permohonan Salinan / Cabutan Sijil Nikah?
Jawapan:
  • Isi Borang 18 (boleh diambil hanya di Pejabat Agama Jajahan)
  • Salinan boleh dituntut selepas 7 hari dari tarikh permohonan
  • Bayaran: RM25.00
  • Boleh dihantar melalui pos ekspres jika pemohon tinggal di luar Kelantan (sediakan sampul)
Soalan 5: Bagaimanakah Cara Melakukan Ujian Saringan HIV?
Jawapan:
  • Hanya boleh dilakukan di Klinik Kesihatan/Hospital Kerajaan
  • Jika di luar Kelantan, pastikan keputusan dan cop pegawai bertugas dicatat dan dimasukkan dalam sampul
  • Tiada bayaran dikenakan
  • Ujian dilakukan oleh Pegawai Perubatan/Pembantu Perubatan/Jururawat Kesihatan
  • Menggunakan setitik darah dengan alat HIV Rapid Test Kit
  • Keputusan dalam 15 – 30 minit
  • Keputusan dicatat dalam Borang JAHEAIK/HIV (Kelantan sahaja)
  • Borang dan sampul diserahkan bersama borang permohonan perkahwinan ke Pejabat Agama
Soalan 6: Siapakah Yang Dikecualikan Daripada Mengambil Kursus Pra Perkahwinan Islam?
Jawapan:
  • Orang yang pernah berkahwin (duda, janda, poligami)
  • Warga asing
  • Pemegang sijil SMU, STU, STAM
  • Pemegang Sijil Tinggi Pondok, diploma, ijazah dalam pengajian Islam
  • Individu cacat anggota tertentu
Soalan 7: Bagaimanakah Seorang Pemohon Dapat Mengenali Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’?
Jawapan:
  • Rujuk ke Pejabat Agama Jajahan tempat pemohon bermastautin/bermukim
 
Soalan 8: Adakah Pemohon Boleh Mengikuti Kursus Pra Perkahwinan Di mana-mana Tempat Di Malaysia?
Jawapan: Ya, boleh, asalkan kursus berasaskan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Islam (MBKPI) dan diiktiraf oleh Jabatan Agama Islam Negeri berkenaan
 
Soalan 9: Dimanakah Pemohon Boleh Mengambil Borang Permohonan Berkahwin?
Jawapan: Di Masjid Mukim atau kediaman Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di tempat pemohon bermastautin/bermukim
 
Soalan 10: Bilakah Masa Yang Sesuai Untuk Seorang Pemohon Membuat Permohonan Berkahwin?
Jawapan:
  • Seawal 3 bulan sebelum tarikh akad nikah
  • Seeloknya selewat-lewatnya 1 bulan sebelum akad nikah untuk memudahkan pengeluaran kebenaran berkahwin

 

SOALAN LAZIM | BAHAGIAN PENGUATKUASAAN

Soalan 1: Saya ingin membuat aduan berkenaan kes Jenayah Syariah (khalwat, tidak sopan dan minum arak) di tempat saya. Bagaimanakah caranya?
Jawapan: Sila hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah atau Pejabat Agama Jajahan untuk memberi maklumat tersebut dengan mengisi borang aduan (Borang 5) atau sila hubungi talian hotline 24 jam Bahagian Penguatkuasa Agama iaitu 09-7419102. TALIAN WHATSAPP 013-9193878.

Soalan 2: Sekiranya saya membuat aduan terhadap sebarang kes jenayah syariah seperti khalwat, adakah maklumat peribadi saya akan dirahsiakan?
Jawapan: Maklumat peribadi anda adalah dilindungi dan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Soalan 3: Apakah tindakan selepas maklumat diterima?
Jawapan: Semua maklumat yang diterima akan diambil tindakan serta merta oleh Pihak Penguatkuasa Agama setelah pihak kami memastikan kesahihan maklumat tersebut.

Soalan 3: Siapakah yang ada kuasa untuk membuat tangkapan bagi kes-kes Jenayah Syariah?
Jawapan: Pegawai Penguatkuasa Agama, Pegawai Polis, Pegawai Masjid (Imam Tua, Imam Muda dan Bilal), Penggawa, Penghulu, dan Guru Agama Bertauliah boleh tanpa perintah daripada Hakim dan tanpa waran menangkap mana-mana orang yang ada kena-mengena dengan kesalahan atau yang terhadapnya suatu aduan yang munasabah telah dibuat.

Soalan 4: Adakah orang awam boleh membantu dalam membanteras Kes Jenayah Syariah?
Jawapan: Menurut Seksyen 8 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah No. 8 Tahun 2002, tiap-tiap orang adalah terikat untuk membantu seseorang Hakim, Pegawai Penguatkuasa Agama atau Pegawai Polis yang semunasabahnya menghendaki bantuannya dalam menangkap atau mencegah terlepasnya mana-mana orang yang diberi kuasa untuk menangkapnya.

Soalan 5: Adakah Pegawai Penguatkuasa Agama mempunyai kuasa untuk menghendaki kehadiran saksi bagi sesuatu kes dan bagaimana jika saksi tersebut enggan hadir?
Jawapan: Seksyen 58 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah No 8 Tahun 2002 memperuntukkan kuasa kepada Pegawai Penguatkuasa untuk menghendaki kehadiran saksi bagi suatu kes dan jika saksi enggan hadir, pegawai penguatkuasa agama boleh memohon waran daripada mahkamah untuk memaksa kehadiran saksi tersebut.

Soalan 6: Bolehkah seseorang Pegawai Penguatkuasa Agama memecah masuk dan menggeledah rumah atau mana-mana premis semasa melakukan tangkapan?
Jawapan: Ya, mengikut Seksyen 13 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah No 8 Tahun 2002, seorang pegawai penguatkuasa agama boleh memecah masuk dan menggeledah rumah atau premis yang disyaki tanpa memerlukan waran. Namun, tindakan tersebut mestilah berdasarkan suatu alasan yang sah.

Soalan 7: Apakah tindakan ke atas seseorang yang dituduh melakukan kesalahan tak boleh tangkap yang enggan memberikan nama dan alamat kediaman atau dia memberikan alamat kediaman di luar Negeri Kelantan?
Jawapan: Orang tersebut boleh ditangkap untuk menentukan nama dan kediamannya dan dibawa ke hadapan hakim Mahkamah Rendah Syariah yang terdekat.

Soalan 8: Apakah yang dimaksudkan dengan kesalahan boleh tangkap dan kesalahan tak boleh tangkap?
Jawapan: Kesalahan boleh tangkap ialah kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh satu tahun atau lebih, manakala kesalahan tak boleh tangkap ialah kesalahan yang boleh dihukum dengan pemenjaraan kurang daripada satu tahun atau dengan denda sahaja.

SOALAN LAZIM | BAHAGIAN PENYELIDIKAN

Soalan 1 : Apakah fungsi utama Bahagian Penyelidikan di JAHEAIK?
Jawapan : Bahagian Penyelidikan bertanggungjawab menjalankan kajian berkaitan hal ehwal Islam di negeri Kelantan, termasuk isu-isu semasa, pembangunan masyarakat Islam, serta keberkesanan dasar dan program yang dilaksanakan oleh JAHEAIK.

Soalan 2 : Apakah jenis penyelidikan yang dijalankan oleh JAHEAIK?
Jawapan : Antara penyelidikan yang dijalankan termasuk : 

  • Kajian berkaitan kefahaman dan amalan masyarakat terhadap hukum syarak.
  • Kajian pelaksanaan dasar dan undang-undang Islam di Kelantan.
  • Kajian keberkesanan program dakwah dan pengajian Islam.
  • Penyelidikan sosial dan isu-isu semasa umat Islam.

Soalan 3 : Bagaimana untuk memohon kerjasama penyelidikan dengan JAHEAIK?
Jawapan : Permohonan boleh dibuat secara rasmi melalui surat kepada Pengarah JAHEAIK, beserta proposal penyelidikan lengkap yang menyatakan tujuan, metodologi, dan manfaat kajian.

Soalan 4 : Apakah jenis-jenis kajian yang dibenarkan oleh JAHEAIK?
Jawapan : JAHEAIK membenarkan kajian yang berkaitan dengan :

  • Undang-undang keluarga Islam.
  • Pentadbiran hal ehwal Islam
  • Pendidikan Islam
  • Dakwah dan pembangunan ummah
  • Isu-isu kontemporari Islam

Soalan 5: Bagaimana saya boleh mendapatkan data atau maklumat daripada JAHEAIK untuk tujuan penyelidikan?
Jawapan: 
Permohonan data rasmi boleh dikemukakan melalui surat rasmi kepada Bahagian Penyelidikan. Pihak jabatan berhak meluluskan atau menolak berdasarkan sensitiviti dan kepentingan data tersebut.

Soalan 6: Siapakah yang boleh membuat permohonan kerjasama penyelidikan dengan JAHEAIK? 
Jawapan: Permohonan terbuka kepada institusi pengajian tinggi, badan penyelidikan berdaftar, serta individu atau pelajar yang menjalankan kajian ilmiah dengan bimbingan akademik.

Soalan 7: Bagaimana saya boleh menghubungi Bahagian Penyelidikan JAHEAIK?
Jawapan: Anda boleh menghubungi kami melalui emel rasmi atau talian telefon yang disenaraikan di laman web JAHEAIK, atau hadir terus ke pejabat kami dengan temujanji terlebih dahulu.

 

SOALAN LAZIM | BAHAGIAN PENGURUSAN HALAL


Soalan 1: Apakah Badan Pensijilan dan Logo Halal lain yang diiktiraf oleh JAKIM?
Jawapan: 
Dalam Negara: Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) / Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
Luar Negara: 58 badan diiktiraf (sehingga 15 Feb 2016), rujuk www.halal.gov.my.

Soalan 2: Bagaimana mengenal pasti produk import yang mempunyai pensijilan halal luar negara?
Jawapan: Melalui logo atau nama badan pensijilan halal yang diiktiraf pada label produk.

Soalan 3: Apa perbezaan pensijilan halal Malaysia dan sijil halal swasta?
Jawapan:
Malaysia: Diiktiraf kerajaan, ikut piawaian & undang-undang, dipantau berwibawa.
Swasta: Tidak diiktiraf kerajaan.

Soalan 4: Adakah syarikat swasta boleh bekerjasama dengan kerajaan dalam pensijilan halal?
Jawapan: Tiada kerjasama setakat ini.

Soalan 5: Apakah undang-undang terlibat dalam pensijilan halal Malaysia?
Jawapan:
Akta Perihal Dagangan 2011
Manual Pensijilan Halal
Akta Makanan 1983, Peraturan Makanan 1985
Akta Binatang 1953, Akta Kastam 1967
Akta/Enakmen Agama Islam Negeri
Akta Cap Dagangan 1976

Soalan 6: Perlu kelulusan untuk guna logo halal dalam iklan?
Jawapan: Tidak perlu, tapi pengesahan perlu dirujuk kepada JAKIM.

Soalan 7: Bolehkan logo halal dicetak pada katalog, kad nama dan kepala surat?
Jawapan: Tidak boleh. Hanya pada produk yang mendapat sijil halal.

Soalan 8: Adakah terdapat badan pensijilan halal swasta di Malaysia?
Jawapan: Ya.

Soalan 9: Adakah sijil halal swasta diiktiraf oleh JAKIM?
Jawapan: Tidak.

Soalan 10: Adakah hanya logo halal JAKIM / MAIN / JAIN akan diiktiraf di Malaysia?
Jawapan: Ya, hanya logo JAKIM/MAIN/JAIN diiktiraf. Luar negara hanya 58 badan diiktiraf.

Soalan 11: Adakah Eksekutif/Jawatankuasa Halal Dalaman wajib?
Jawapan: Wajib untuk syarikat multinasional & industri kecil sederhana.

Soalan 12: Apa tugas Eksekutif/Jawatankuasa Halal Dalaman?
Jawapan: Memastikan pelaksanaan sistem kawalan halal dalaman berjalan lancar.

Soalan 13: Di mana boleh rujuk fatwa berkaitan halal?
Jawapan: Laman e-fatwa di https://www.e-maik.my/v2/pautan-eperkhidmatan/e-fatwa

SOALAN LAZIM| BAHAGIAN HALAQAT NEGERI

 

Soalan 1 : Apakah itu Halaqat Negeri?
Jawapan : Halaqat Negeri ialah satu bentuk sistem pengajian agama secara berkumpulan yang dianjurkan oleh JAHEAIK untuk memperkasakan ilmu agama Islam di peringkat akar umbi, melalui masjid dan surau di seluruh negeri Kelantan.

Soalan 2: Apakah peranan utama Bahagian Halaqat JAHEAIK?  
Jawapan: Bahagian Halaqat bertanggungjawab mengurus, menyelaras dan memantau pelaksanaan program halaqat, kelas pengajian al-Quran, takmir masjid, dan aktiviti pendidikan Islam tidak formal di seluruh negeri Kelantan.

Soalan 3: Siapakah yang layak menjadi Guru Halaqat?  
Jawapan: Calon mestilah warganegara Malaysia, beragama Islam, mempunyai latar belakang pendidikan Islam (minimum STAM, diploma atau ijazah dalam bidang berkaitan), serta aktif dalam aktiviti keagamaan dan masyarakat.

Soalan 4: Bagaimana cara untuk memohon menjadi Guru Halaqat? 
Jawapan: Permohonan dibuka dari semasa ke semasa melalui hebahan rasmi JAHEAIK. Pemohon perlu mengisi borang permohonan, sertakan sijil kelayakan, dan hadir temuduga apabila dipanggil.

Soalan 5: Di mana kelas Halaqat biasanya dijalankan?  
Jawapan: Kelas Halaqat dijalankan di masjid, surau, balai Islam, atau pusat komuniti yang telah mendapat kelulusan JAHEAIK. Lokasi bergantung kepada keperluan dan permintaan masyarakat setempat.

Soalan 6: Apakah jenis pengajian yang ditawarkan dalam program Halaqat?  
Jawapan: Antara pengajian yang ditawarkan ialah pengajian al-Quran, tafsir, fiqh, akidah, hadis, sirah, tajwid, serta pelajaran fardu ain dan ibadah harian.

Soalan 7: Siapakah yang boleh mengikuti kelas Halaqat? 
Jawapan: Kelas Halaqat terbuka kepada semua lapisan masyarakat, tanpa mengira umur atau latar belakang pendidikan. Ia percuma dan bertujuan memantapkan kefahaman agama umat Islam.

Soalan 8: Adakah kelas Halaqat diadakan secara berkala?  
Jawapan: Ya. Kelas biasanya diadakan secara mingguan atau mengikut jadual yang ditetapkan oleh guru halaqat bersama pihak masjid atau surau.

Soalan 9: Bagaimana cara untuk mendapatkan maklumat terkini tentang kelas atau program 
Jawapan: Halaqat di kawasan saya?  
Anda boleh merujuk laman web JAHEAIK, papan kenyataan masjid, atau menghubungi Pejabat Agama Jajahan terdekat untuk maklumat terkini.

Soalan 10: Bolehkah saya memohon untuk menganjurkan kelas Halaqat di tempat saya?  
Jawapan: Ya. Permohonan boleh dibuat secara rasmi kepada Pejabat Agama Jajahan atau Bahagian Halaqat, JAHEAIK. Penilaian akan dibuat berdasarkan kesesuaian tempat dan keperluan setempat.