PROGRAM MOTIVASI KEKELUARGAAN DAN REMAJA DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN PUTERI, KOTA BHARU
[Kota Bharu] 18 Jun 2025 - Program Motivasi Kekeluargaan dan Remaja telah berjaya diadakan pada 18 Jun 2025 bersamaan 21 Zulhijjah 1446 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri. Program anjuran Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JAHEAIK dengan kerjasama SMK Puteri ini melibatkan seramai 600 orang pelajar tingkatan 1-5.
.
Objektif program ini adalah sebagai satu usaha menyampaikan maklumat tentang prinsip jati diri remaja mengikut panduan Islam. Program ini juga adalah sebagai pendedahan kepada para pelajar akan hak-hak dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dalam konteks keluarga yang diredhai Allah SWT.
.
Pendekatan program berbentuk ceramah motivasi ini menggunakan salah satu dari Modul Pusat Khidmat Keluarga, Sosial dan Komuniti (PKKSK) iaitu Modul Pembangunan Remaja. Antara topik yang ditekankan adalah Adab Pergaulan Remaja, Peranan Remaja dalam Keluarga, Remaja dan Rakan Sebaya, Remaja dan Media Sosial dan Penzinaan dan Kesannya kepada Keluarga. Ceramah telah disampaikan oleh YBrs. Ustaz Abdul Rahman bin Mat Sulaiman, Penolong Pengarah Nikah, Cerai dan Rujuk negeri Kelantan. Program ini berakhir dengan sesi soal jawab bersama pelajar.
.
Jabatan ini merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak pengurusan SMK Puteri dan pelajar atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang program ini berlangsung. Diharapkan program sebegini memberikan impak positif kepada para pelajar ke arah pembangunan sesebuah keluarga yang sejahtera.