Skip to main content

011-25433527 jaheaik@kelantan.gov.my ahad-khamis 8.00 - 5.00

Majlis Bacaan Doa Akhir Tahun 1446H dan Awal Tahun 1447H Sempena Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1447H / 2025M Berlangsung Penuh Penghayatan

KOTA BHARU, 26 Jun 2025 – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) telah menganjurkan Majlis Bacaan Doa Sempena Akhir Tahun 1446H & Awal Tahun 1447H serta Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1447H / 2025M dengan penuh penghayatan dan kehadiran masyarakat yang menggalakkan.

Majlis yang berlangsung pada hari Khamis, 26 Jun 2025 bersamaan 29 Zulhijjah 1446H itu bertempat di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu dan bermula pada jam 6:50 petang.

Program tersebut turut disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, yang mencemar duli berangkat bagi menyertai rakyat dalam majlis penuh barakah ini.

Antara pengisian utama majlis termasuklah:

  • Bacaan Doa Akhir Tahun 1446H sebelum masuk waktu Maghrib,

  • Solat Maghrib secara berjemaah, dan

  • Bacaan Doa Awal Tahun 1447H selepas solat.

Majlis ini dianjurkan sebagai platform untuk umat Islam bersama-sama menghayati semangat penghijrahan Nabi Muhammad SAW, bermuhasabah, serta memohon keberkatan dan perlindungan Allah SWT sempena kedatangan tahun baharu Hijrah.

Penganjuran ini juga menjadi medan menyemai nilai-nilai keislaman, mempererat ukhuwah, dan mengimarahkan masjid dengan majlis ilmu dan doa bersama.

JAHEAIK turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Kelantan yang hadir memeriahkan majlis ini serta menyeru agar semangat penghijrahan dijadikan inspirasi dalam memperbaiki diri dan masyarakat ke arah yang lebih baik dan diberkati.